Nilai Islam dilupakan…

PERSEKITARAN yang bersih menjadi suatu pandangan lazim seandainya kita berada di negara maju seperti Jepun atau di Eropah.

Negara jiran, Singapura juga menjadi contoh dalam memperkatakan keadaan sebuah negara yang mengamalkan nilai kebersihan pada tahap tinggi.

Namun, apabila berada di negara kurang maju, apatah lagi di negara majoriti penduduknya terdiri daripada umat Islam, nilai itu sukar untuk ditemui.

Sedangkan semua mengetahui dan menyedari kebersihan itu adalah nilai dalam Islam.

Mengapakah nilai yang begitu baik untuk kemaslahatan dan kesejahteraan diperlekehkan sehinggakan kini isu memelihara dan menjaga kebersihan itu masih lagi timbul dan menjadi bahan rungutan.

Masing-masing tidak mahu meletakkan aspek kebersihan sebagai elemen utama dalam kehidupan.

Sebelum ini, kita dikejutkan dengan isu pencemaran kronik di Sungai Kim Kim, Johor. Pembuangan sisa toksik bahan kimia berbahaya dilakukan sesuka hati tanpa memikirkan kesan buruknya.

Baru tiga bulan isu pencemaran itu didedahkan, kini Sungai Kim Kim berdepan pula isu sampah- sarap yang menyekat aliran air di sungai berkenaan.

Keadaan itu menunjukkan manusia bersikap ambil ringan dengan hal memelihara dan menjaga alam sekitar sehingga ekosistem alam tergugat, sekali gus mengundang risiko berbahaya kepada manusia.

Demikian juga sikap masyarakat yang sudah sekian lama diperkatakan mengenai rendahnya kesedaran memelihara alam sekitar dan kebersihan.

Pemandangan di lokasi terbuka dijadikan tempat berbuka puasa ketika bulan Ramadan lalu juga mengalami nasib sama.

Padang awam berselerak dengan sisa makanan serta bekas makanan sehingga menyulitkan pihak majlis kerajaan tempatan membersihkannya.

Jelas sekali kemudahan dan prasarana bertaraf lima bintang mampu disediakan, namun belum mampu membina manusia yang tinggi kesedaran siviknya.

Sikap dan tanggapan memelihara serta menjaga kebersihan alam sekitar itu tanggungjawab pihak yang ditugaskan sudah sekian lama tertanam dalam pemikiran masyarakat.

Negara kita sudah 62 tahun mencapai kemerdekaan dan terlepas daripada cengkaman penguasaan penjajah.

Malang sekali dalam tempoh lebih enam dekad itu, kita masih gagal membentuk sebuah negara yang benar-benar dikategorikan bersih dari sudut penjagaan kebersihan alam sekitar.

Kita sering dicanangkan supaya mencontohi masyarakat negara maju dan Jepun dalam menerokai ilmu pengetahuan berasaskan sains dan teknologi di samping mencontohi sikap bekerja rakyat negara berkenaan yang begitu komited.

Dalam pada itu, kita kurang mengajak masyarakat meniru nilai peribadi mereka seperti yang suka membaca dan mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.

Nilai keperibadian dan sikap juga amat penting untuk diberikan penekanan. Ketamadunan dan kehebatan sesebuah bangsa dan negara dalam kemajuan berasaskan sains dan teknologi akan tempang sekiranya wargane- garanya tidak memiliki akhlak, moral serta kesedaran sivik.

Hakikat yang seharusnya kita semua akui adalah umat Islam semakin meninggalkan nilai yang penting itu.

Menjaga kebersihan alam sekitar adalah nilai Islam. Kita yang sepatutnya menjadi umat pendahulu dalam mempamerkan akhlak peribadi itu dan bukannya umat lain.

Nilai didikan yang baik seperti memelihara dan menjaga kebersihan itu sewajarnya dimulakan dari rumah. Ibu bapa perlu berperanan bagi menggerakkan nilai itu dengan penuh tanggungjawab supaya dapat melahirkan insan yang tinggi rasa sivik serta meletakkan aspek penjagaan kebersihan sebagai ‘pakaian diri’.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Be the first to comment on "Nilai Islam dilupakan…"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*