`Terima kasih ATM’

“WALAUPUN suami sudah meninggal pada 2017, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak pernah melupakan kami,” kata Faridah Saad, 55, balu kepada veteran tentera, Rosly Abdullah.

Akibat mengalami diabetes, Faridah kini kehilangan kedua-dua kakinya dan terpaksa menggunakan kerusi rosa selain memerlukan bantuan anaknya untuk bergerak.

Faridah berkata, suaminya yang berkhidmat dalam ATM sejak 1979 dan pernah bertugas dalam Rejimen Semboyan Diraja (RSD) ATM meninggal dunia pada 2017 juga kerana diabetes.

“Saya sendirian membesarkan empat anak lelaki yang kini berusia 17 hingga 27 tahun dan dua daripada mereka sudah bekerja.

“Hanya anak yang bongsu masih bersekolah, manakala anak ketiga tidak dapat bekerja kerana menjaga saya sepenuh masa.

“Kaki kanan saya terpaksa dipotong pada 2016, kemudiannya suami meninggal pada 2017 dan kemudiannya Januari lalu kaki kanan saya pula dipotong,” katanya ketika ditemui di majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertahanan Malaysia 2019 di Wisma Pertahanan, hari ini.

Faridah adalah seorang daripada enam penerima bantuan peralatan pesakit di majlis berkenaan, manakala seramai lapan anak veteran ATM menerima bantuan pengajian dan seorang veteran menerima bantuan sara hidup menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Kementerian Pertahanan pula menyampaikan sumbangan kepada lapan ibu tunggal yang disampaikan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Faridah berkata, dia sangat bersyukur dan berterima kasih kepada ATM kerana sentiasa cakna dengan keluarga pesara ATM yang mengalami kesusahan walaupun suaminya sudah meninggal dunia.

“Mereka (ATM) masih mengingati jasa suami yang pernah mencurah bakti kepada negara,” katanya.

Hadir sama di majlis itu Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Be the first to comment on "`Terima kasih ATM’"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*