“Lekat Balik Kepingan Emas Betul” – Rizalman Dedah Betapa Mewahnya Persalinan Kurung Di Raja

Pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim mendedahkan secara terperinci butiran baju kurung yang disarung Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena Istiadat Pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billa Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam.

Kata Rizalman, baju kurung berwarna putih gading itu selain menggunakan fabrik yang ditenun oleh banduan penjara Penor dan Bentong, Pahang, busana mewah itu disulam penuh teliti pada bahagian bawah baju, kain dan bucu selendang.

“Ini merupakan baju kurung yang Raja Permaisuri Agong pakai ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam, warnanya putiih gading.

“Pada hujung selendang ada sulaman kerawang dan kain tenunan pula daripada penghuni penjara di Penor dan Bentong.

“Corak pada fabrik juga berdasarkan ilham Tuanku sendiri untuk meletakkan colek menggunakan pakan perak.

“Rekaan lambang Pahang iaitu tombak dan gading serta Johor mewakili bulan dan bintang juga cetusan idea Tuanku.

“Kemudian pada bahagian bawah adanya sulaman dan jahitan manik terdiri daripada mutiara dan batu berlian, kalau diperhatikan kerawang pun dibuat satu persatu dengan tangan dan terdapat lambang-lambang di dalamnya,” terang Rizalman sambil menunjukkan butiran busana tersebut.

Malah, jelas Rizalman persalinan itu dilengkapi dengan jahitan semula kepingan emas daripada busana asal Almarhum Tengku Puan Zanariah Tengku Ahmad, bonda kepada Raja Permaisuri Agong.

“Ini bahagian istimewa sedikit, ini merupakan kepingan emas. Kalau orang dulu-dulu apabila memakai baju polos atau songket, mereka akan meletakkan ‘dot dot’ emas menjadi bunga tabur pada leher dan hujung kain.

“Jadi, Tuanku pinjam daripada Almarhum bonda Tuanku untuk diletakkan semula demi mengembalikan nostalgia zaman dulu sebagai tanda turun-temurun.

“Kepingan emas ini saja jahit dan ini memang emas betul. Ia merupakan kombinasi hak milik kerajaan Johor dan Pahang.

“Pada bahagian kain pun turut dijahit mengikut susunan bunga dan busana ini memang mewah!” cerita Rizalman lanjut melalui Instastories semalam.

Rekaan pakaian yang bakal jadi trending!

Selain Raja Permaisuri Agong, Rizalman turut menggalas tanggungjawab untuk menjahit busana yang disarung oleh puteri-puteri Raja Permaisuri Agong.

Sumber: Instagram Rizalman via Astrogmpak

 

Be the first to comment on "“Lekat Balik Kepingan Emas Betul” – Rizalman Dedah Betapa Mewahnya Persalinan Kurung Di Raja"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*