Bantulah Muhamad Syawal

 

LIMA tahun lalu doktor mencadangkan dilakukan pembedahan memasukkan besi dan 18 skru untuk masalah tulang bengkok yang dialami.

Bagaimanapun disebabkan kekangan kewangan yang dihadapi keluarga, Muhamad Syawal Ramli, 11, terpaksa bertahan kerana kos yang diperlukan untuk pembedahan itu RM30,000.

Disebabkan sudah lama bertangguh, keadaan Muhamad Syawal semakin teruk apabila tulang belakang yang semakin bengkok turut memberi kesan kepada fizikal tubuhnya.

Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Salor itu juga semakin kerap mengalami sesak nafas dan berasa lenguh jika lama berjalan atau berdiri berikutan tulang bengkok yang tidak dapat menampung berat badannya.

Bapanya, Ramli Omar, 55, berkata, dia sudah memohon bantuan daripada pelbagai pihak bagi mendapatkan sumbangan untuk pembedahan anak keenam daripada tujuh beradik itu, namun sehingga kini semuanya tidak mendapat maklum balas.

“Saya hanya pekerja am di sebuah jabatan kerajaan dan menerima gaji kira-kira RM1,000 sebulan.

“Mana mungkin saya dapat menyimpan wang sedangkan hanya cukup untuk perbelanjaan kami sekeluarga malah semua anak masih belajar dan memerlukan kos banyak,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Kandis, Pasir Mas.

Ramli berkata, anaknya juga semakin kerap tidak hadir ke sekolah terutama jika diserang batuk yang menyebabkan semput.

Katanya, pihak sekolah memberikan kerjasama membenarkan buku teks ditinggalkan di dalam kelas bagi meringankan sedikit berat beg yang dipikul untuk memanjat tangga naik ke kelas di tingkat tiga.

“Saya buntu memikirkan bagaimana lagi cara untuk mencari sumber kewangan bagi menjalani pembedahan secepat mungkin kerana keadaan anak semakin hari semakin teruk.

“Posisi tidurnya juga tidak boleh berlunjur seperti orang lain dan kaki kirinya terpaksa dibengkok ke atas bagi menstabilkan kedudukannya.

“Boleh dikatakan kini dia agak kerap dirujuk ke klinik atau hospital kerana masalah semput disebabkan masalah tulang belakang itu yang mempunyai kaitan dengan sistem pernafasan,” katanya.

Ramli berkata, doktor ada memaklumkan pembedahan memasukkan 18 batang skru itu adalah sebagai permulaan dan akan digantikan dengan lain menerusi pembedahan seterusnya selepas beberapa tahun bergantung kepada perubahan fizikalnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke Bank Islam milik Ramli 03027020473234.

sumber

Be the first to comment on "Bantulah Muhamad Syawal"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*