Zul Yahya curi tumpuan

PELAKON Zul Yahya, 46, tidak mengharapkan maklum balas masyarakat apabila membersih dan mengutip sampah di sekitar Taman Meru, Ipoh, yang tular baru-baru ini.

Pelakon yang popular menerusi siri drama Pepaya itu mencuri tumpuan ramai apabila bertindak membersihkan sampah-sarap di kawasan terbabit sendirian.

Zul ketika dihubungi berkata, dia sememangnya sedar apa yang dibuat sebelum ini tidak memberi kesedaran dan bertindak membuat keputusan sedemikian.

“Dari dulu sampailah sekarang perkara ini tiada respon. Cakap 100 kali pun sama juga kerana itu akhlak. Saya bercakap berkenaan akhlak manusia. Saya buatlah apa yang boleh. Ibarat saya nak tandas saya bersih, takkanlah saya nak kena harapkan orang lain yang buat.

“Saya cuci dan tunjukkan saya nak tandas saya bersih macam ini, kemudian saya suruh orang buat. Kalau mereka tak buat juga, bermakna mentaliti mereka memang teruk,” katanya.

Zul yang kini bergelar usahawan berkata, tujuannya adalah memupuk kesedaran betapa pentingnya menjaga kebersihan yang menjadi asas hidup.

“Hidup kita sekarang pada zaman gajet, semuanya nak glamour. Apa yang dipandang hanya perkara glamour. Saya nak bangunkan semua orang terutama golongan muda supaya menjaga kebersihan kerana ia adalah asas kualiti hidup. Kalau tak bersih bermakna ia pemalas dan orang malas tiada hala tuju dalam hidup. Ia memang asas utama,” katanya.

Tindakan Zul melakukan kerja pembersihan ini dikesan seorang individu bernama Mohd Hairuddin yang merakam video dan kemudiannya memuat naik di Facebook.

“Semalam Zul bagi tahu sampah banyak di kawasan Mcdonalds Meru. Hari ini dia sendiri yang datang sapu sampah penuh satu kereta pacuan empat roda,” tulis Mohd Hairuddin.

Hantaran video ini dikongsi sebanyak 560 kali dan menerima 68,000 tontonan dan rata-rata warganet memuji usaha dan tindakan murni pelakon terbabit.

Zul berkata, dia sendiri asalnya orang miskin tetapi sudah diajar menjaga kebersihan sejak kecil. “Rumah buruk juga tapi ibu bapa saya ajar kalau boleh rumah sentiasa bersih dan tempat tidur kena sentiasa kemas.

“Ini yang perlu ditekankan dalam masyarakat kita. Saya tak pastilah sama ada orang suka atau tak dengan perbuatan saya. Saya bukannya nak tunjuk yang saya baik dan semua manusia tak sempurna,” katanya.

Menurutnya, dia mahu menyuntik kesedaran di dalam diri sendiri serta masyarakat bahawa pentingnya menjaga kebersihan.

“Itu menunjukkan akhlak, pemikiran dan hala tuju kita sekarang. Kalau boleh biarlah seluruh hidup kita bersih dan kita ada sikap untuk bertindak.

“Saya perasan ada yang kata soal kebersihan adalah urusan pekerja majlis perbandaran, tapi bilangan mereka berapa orang sangat? Mereka kena bersihkan kawasan yang besar. Takkanlah nak harapkan dia berikan kebaikan terhadap keburukan kita setiap hari? Untuk apa harapkan orang lain buat sedangkan kita boleh buat sendiri,” katanya.

Menerusi laman Facebook miliknya pula, Zul turut memberi nasihat kepada orang awam supaya menjaga kebersihan bumi ini kerana itu adalah tanggungjawab bersama.

“Buang tabiat buruk itu dan jadilah manusia berkualiti. 20 bungkus plastik sampah berjaya dikutip selama lebih dua jam,” tulisnya.

sumber: metro

Be the first to comment on "Zul Yahya curi tumpuan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*