Seronok Naik Kereta Lanca Sebelum ‘Dip0tong’…

SERAMAI 26 kanak-kanak diarak menggunakan ‘kereta lanca’ sejauh empat kilometer sempena majlis berkhatan di Masjid Kampung Huma, Alor Setar, hari ini.

Kanak-kanak berusia antara enam hingga sembilan tahun itu diarak menggunakan kenderaan yang digunakan untuk mengangkut baja, jerami dan peralatan pertanian sejak lebih 30 tahun lalu.

Jurucakap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Besar, Sobri Md. Din, 62, berkata program itu dianjurkan secara percuma dan diraikan dengan cara tersendiri.

“Kami menggunakan lapan kereta lanca yang sebenarnya adalah motosikal dilengkapi pengangkut beroda dua.

“Tetapi, orang tempatan menggelarnya sebagai kereta lanca.

“Pada masa dahulu, pesawah menggunakan anok yang ditarik oleh kerbau namun seiring dengan peredaran zaman, petani kini menggunakan kereta lanca,” katanya.

Katanya, lebih menarik setiap kenderaan ini dihiasi daun kelapa selain kanak-kanak lengkap berpakaian baju Melayu.

Sementara itu, peserta khatan, Atiqullah Faisal, 8, mengakui sangat teruj4 dapat menaiki kereta lanca buat kali pertama.

Katanya, pengalaman menaiki kereta menyebabkan dia terlupa perasaan gementar dialaminya sejak semalam.

“Saya dah tak takut hari ini, semua orang gembira. Rakan-rakan sebaya yang lain pun turut serta dan bersemangat.

“Lepas naik kereta lanca, kami semua dimandikan dengan pancuran air bomba, sejuk sangat-sangat, sekarang saya dah tukar pakaian dan bersedia untuk berkhatan,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

 

Sumber: HarianMetro

Be the first to comment on "Seronok Naik Kereta Lanca Sebelum ‘Dip0tong’…"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*