Mulanya ditegur cantik, gadis terharu kakak dan aunty India bantu betulkan sari depan LRT

PAKAIAN tradisional sering menjadi pilihan ramai ketika meraikan Hari Kebangsaan. Namun, jarang dilihat individu memilih untuk menggayakan busana tradisional kaum lain seperti gadis ini yang memakai sari yang menjadi pakaian wanita India.

Indah dengan keunikan fabrik pelbagai warna, pemakaian sari memerlukan wanita melilit kain sepanjang lima hingga enam meter.

Gadis, Diyana Azmi yang memakai busana itu pada sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini menjadi tular di laman sosial TikTok selepas berkongsi video keprihatinan sekumpulan wanita India yang secara suka rela memperkemaskan sari yang dipakainya.

“Ini kali pertama saya memakai sari, tengok video tutorial dari YouTube sahaja. Tiba-tiba mereka (wanita berbangsa India) menegur dan memuji saya kelihatan cantik memakai sari dan menawarkan diri untuk memperbetulkannya sekali.

“Masa ini saya rasa diri menjadi tumpuan ramai kerana ketika itu berada di depan tangga Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek. Terima kasih kakak dan makcik,” titipnya.

Diyana turut berkongsi video yang menunjukkan sari dipakai olehnya sendiri sebelum itu kurang kemas dan terharu dengan bantuan yang dihulurkan.

“Terima kasih kakak dan makcik-makcik, ini memori manis buat saya. Kita 1 Malaysia,” coretnya.

Warga siber meluahkan rasa terharu melihat perlakuan harmoni wanita daripada dua bangsa itu, lebih-lebih lagi apabila ia terjadi pada tarikh ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-65.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Pen Pilot

Sumber : https://sinarplus.sinarharian.com.my/