Terpaksa makan ubi rebus, pisang

KAMI sekeluarga terpaksa makan ubi kayu rebus dan pisang selepas terputus bekalan makanan kerana tidak dapat keluar bekerja,” kata Wati Tero, 37.

Wati yang juga Orang Asli suku Kensiu dari Kampung Lubuk Legong, Baling berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan mereka tidak berani keluar rumah untuk bekerja.

Katanya, ia menyebabkan mereka sekeluarga terputus bekalan makanan terutama beras dan lauk.

Kami makan apa saja yang ada bagi mengalas perut supaya tidak lapar.

Disebabkan beras dan lauk sudah habis, kami terpaksa makan ubi kayu dan pisang.

Kami tidak dapat keluar menoreh dan mencari hasil hutan kerana takut wabak virus menular dan duduk di rumah sahaja,” katanya.

Wati berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan barangan makanan daripada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, hari ini.

Wati berkata, mereka bernasib baik kerana ada pihak yang menyalurkan bantuan di saat mereka kehabisan makanan.

Kami tidak tahu di mana lagi nak mencari duit untuk membeli makanan kerana akur perintah kerajaan.

(Jadi) Sumbangan ini dapat meringankan beban kami,” katanya.

Wati berkata, dia dan keluarga termasuk enam jiran berpindah dan tinggal untuk sementara di tepi Sungai Siong bagi mengelakkan mereka berkumpul beramai-ramai di rumah.

Kami membina dangau dari kayu hutan dan buluh untuk berteduh serta berjauhan dengan penduduk kampung bagi mengelak jangkitan penyakit,” katanya.

Ketua masyarakat Orang Asli di situ, Razali Kulim, 41, berkata, ada di antara keluarga di perkampungan itu berpindah sejauh satu kilometer berdekatan sungai sejak PKP berkuat kuasa.

Syukur setakat ini masyarakat di sini patuh arahan dan tidak keluar menoreh serta mencari hasil hutan bagi mengelakkan virus yang menular,” katanya.

Razali berkata, lebih 280 penduduk membabitkan 89 keluarga Orang Asli Kampung Lubuk Legong, Mukim Siong menerima sumbangan barangan makanan daripada Abdul Azeez.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, lebih 12,000 stok makanan bagi tempoh 14 hari diagihkan kepada penduduk yang terputus bekalan di DUN Bayu, Kupang dan Kuala Ketil.

Saya juga mengaktifkan Facebook (FB) dan mendapat sokongan serta sumbangan daripada anak-anak tempatan yang tinggal di bandar,” katanya.

Abdul Azeez berkata, setiap hari mereka akan memantau dan menghulurkan sumbangan selepas merujuk pemimpin di setiap kampung supaya sumbangan yang diberikan tidak bertindih.

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

 

Sumber:MY METRO

 

Be the first to comment on "Terpaksa makan ubi rebus, pisang"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*