Pemilik motosikal RX-Z RM70,000 teruja ‘Inspektor Khai’ mahu jumpa

 

DUNGUN: “Saya sangat teruja apabila wakil Shaheizy Sam hubungi saya dan memberitahu pelakon itu mahu berjumpa serta melihat sendiri motosikal RX-Z Millenium itu,” kata Tuan Putera Amirul Tuan Muda, 27.

Tuan Putera Amirul yang tular di media sosial selepas mahu menjual RX-Z Millenium pada harga RM70,000, berkata selepas kisah motosikalnya dilaporkan media dan tular, banyak pihak termasuk peminat RX-Z menghubunginya untuk berjumpa.

“Bagaimanapun tidak semua permintaan mereka dapat saya penuhi dan menunjukkan motosikal RX-Z Millenium itu kerana faktor keselamatan.

“Namun, saya tidak mampu menolak apabila pelakon terkenal dan diminati, Shaheizy Sam berhajat berjumpa saya dan melihat motosikal yang tular di media sosial itu.

“Memang seronok dapat berjumpa pelakon dan lebih manis apabila dipelawa berlakon bersama Shaheizy Sam dalam video pendek terbitannya di Pantai Teluk Lipat, Dungun,” kata pemuda berasal dari Paka itu, hari ini.

Shaheizy Sam memewang watak sebagai Inspektor Khai dalam filem aksi komedi, Polis EVO.

Sementara itu, Tuan Putera Amirul memaklumkan, motosikal RX-Z Millenium itu sudah dibeli oleh seorang ahli perniagaan yang sudah membayar wang pendahuluan RM30,000.

“Dalam tempoh terdekat, baki RM39,000 lagi akan dibayar dan motosikal itu akan diberikan kepada pemilik baharu.

“Jika diikutkan saya hendak jual RM70,000, tetapi memandangkan pembeli sangat berminat dan datang dari jauh, seterusnya membabitkan kos pengangkutan, saya bersedia turunkan harga kepada RM69,000,” katanya.

Katanya, dia kini dalam proses menyiapkan motosikal RX-Z Boss keluaran 1994 dan sudah membelanjakan lebih RM35,000 bagi mengumpul komponen barang baharu tetapi stok lama (NOS) untuk memastikan motosikal itu nanti sama sepenuhnya seperti motosikal yang baharu.

Tuan Putera Amirul tular selepas menawarkan menjual motosikal RX-Z Millenium keluaran tahun 2000 pada harga RM70,000.

Dia mendakwa membelanjakan lebih RM50,000 untuk membaik pulih motosikal itu dengan menukarkan pelbagai komponen baharu dan asli.

 

Be the first to comment on "Pemilik motosikal RX-Z RM70,000 teruja ‘Inspektor Khai’ mahu jumpa"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*